Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Livevartha) — Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memulakan dagangan Rabu dengan meningkat seketika sebelum susut, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur ketika pelabur terus meneliti data inflasi Amerika Syarikat (AS).
Pada9.10 pagi ini, indeks penanda aras itu susut 4.49 mata atau 0.28 peratus kepada1,5577.90 daripada paras penutup 1,582.39, semalam.
Sewaktu dibuka, indeks itu menokok 0.84 mata kepada1,583.23.
Jumlah dagangan sebanyak183.35 juta saham bernilai RM106.84 juta.
Dalam pada itu, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 211 berbanding 178; 276 lain tidak berubah;1,730 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Lengberkata Wall Street ditutup bercampur-campur berdasarkan sentimen berbeza dengan Nasdaq dan S&P 500 melonjak susulan cadangan pelaburan sebanyak US$600 bilion (US$1=RM4.30) oleh Arab Saudi di AS manakala Dow Jones tertekan akibat penurunan harga saham UnitedHealth sebanyak 18 peratus.
Beliau berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi April yang lebih rendah daripada jangkaan menyebabkan hasil Perbendaharaan10 tahun AS kekal pada 4.471 peratus.
Di peringkat tempatan, Thong berkata bursa dijangka menyaksikan aliran masuk dana asing ke pasaran selepas menarik diri sejak awal tahun.