PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara dalam tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan yang diimport China kerana ia mengurangkan daya saing relatif eksport sarung tangan Malaysia ke AS.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, China akan mempunyai kelebihan dalam eksport sarung tangan ke AS kerana mereka mampu mengeluarkan dalam kuantiti yang tinggi pada harga yang lebih rendah.
Katanya, pengeluar sarung tangan getah tempat telah membuat pelaburan yang banyak semasa Covid-19 dahulu untuk meningkatkan kapasiti, namun mereka kritikal dalam mendapatkan bekalan bahan mentah getah yang perlu diimport dari negara luar seperti Vietnam, Kemboja dan Thailand.
“China akan menjadi pesiang yang penting kerana mereka berjaya menyakinkan AS bahawa mereka boleh membekalkan sarung tangan getah yang murah dan volum yang tinggi.
“Jadi, pengeluar tempatan perlu mencari pasaran lain yang mungkin tidak diterokai oleh China seperti Eropah, negara-negara Balkan, Rusia dan Amerika Selatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkuat kuasa hari ini, AS akan mengurangkan sementara tarif ke atas import China kepada 30 peratus daripada 145 peratus, manakala China akan menurunkan tarif ke atas import AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus, menurut kenyataan bersama oleh kedua-dua kerajaan.
Pengaturan sementara ini akan berlangsung untuk tempoh awal selama 90 hari, dengan perbincangan lanjut dijadualkan untuk menentukan hala tuju jangka panjang.
CIMB Securities dalam nota penyelidikan berkata, sementara menunggu penjelasan lanjut, pihaknya mengandaikan bahawa tarif 50 peratus yang dikenakan sebelum ini di bawah Seksyen 301 oleh AS semasa pentadbiran Biden berkuat kuasa 1 Jan 2025 dan langkah tarif sehingga 100 peratus yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026 akan kekal dilaksanakan.
Katanya, ini akan mengakibatkan kadar tarif yang disemak semula berkesan ke atas sarung tangan China yang diimport ke AS ialah 80 peratus sehingga 31 Dis 2025 dan 130 peratus mulai 1 Jan 2026.
“Kami percaya pengurangan sementara dalam tarif AS ke atas sarung tangan yang diimport China adalah negatif bagi pengeluar sarung tangan Malaysia, kerana ia mengurangkan daya saing relatif eksport sarung tangan Malaysia ke AS berbanding dengan sarung tangan dari China.
“Walau bagaimanapun, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa eksport sarung tangan Malaysia masih tertakluk kepada kadar tarif AS yang lebih rendah sebanyak 10 peratus.
“Oleh itu, kami percaya bahawa pembuat sarung tangan Malaysia mengekalkan kelebihan daya saing, kerana tarif yang lebih tinggi ke atas sarung tangan China (kini 80 peratus) terus mengehadkan daya saing harga mereka di pasaran AS,” ujarnya.
Firma penyelidikan berkata, pihaknya menganggarkan bahawa pengeluar sarung tangan Malaysia pada masa ini menjual kepada pengguna AS pada harga jualan purata (ASP) sebanyak AS$20 (RM86.4) hingga AS$21 (RM90.7) setiap 1,000 helai.
“Bagi pengeluar sarung tangan China untuk kekal berdaya saing di pasaran AS di bawah anggaran 80 peratus tarif semasa, kami mengunjurkan mereka perlu menjual produk mereka pada harga AS$11 (RM47.5) hingga AS$12 (RM51.8) setiap 1,000 keping.
“Kami percaya ini tidak mampan dari segi ekonomi dalam jangka masa panjang,” katanya.
CIMB Securites berkata, dalam jangka panjang, disebabkan ketidaktentuan pasaran semasa dan ketidaktentuan dasar, pihaknya percaya pembeli sarung tangan global akan mengekalkan strategi kepelbagaian dengan membeli sarung tangan dari pelbagai negara dan pembekal.
“Pada ketika ini, kami percaya bahawa pembeli AS mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dengan pembelian mereka berikutan turun naik harga dan ketidaktentuan dasar, mengakibatkan permintaan yang lebih sederhana dan volum pembelian yang lebih rendah untuk pembuat sarung tangan Malaysia
“Situasi ini dijangka berterusan sehingga akhir separuh pertama 2025,” jelasnya. – UTUSAN