KUCHING, 16 April- Kerajaan Sarawak mengambil langkah menyeluruh menyatukan dan menilai semula aset-aset strategik milik negeri bagi memperkukuh nilai serta mempelbagaikan sumber pendapatan, berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting susulan penurunan harga minyak global yang turut memberi kesan kepada pendapatan negeri.
Katanya, meskipun Amerika Syarikat bukan pasaran utama komoditi Sarawak berbanding Jepun, Korea Selatan dan China, namun pengenalan tarif oleh negara itu tetap memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi negeri.
Jelas beliau, Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada hasil petroleum sebagai sumber pendapatan utama.
“Sebahagian besar unjuran pendapatan negeri bergantung kepada harga minyak dunia. Tetapi apabila berlaku penurunan, seperti harga Brent Crude kini sekitar 65.14 dolar setong, berbanding anggaran bajet kita iaitu 85 hingga 90 dolar, ini bermakna terdapat pengurangan kira-kira 20 dolar memberi kesan kepada hasil negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak 2025, di Kuching.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar.