Home Nasional Insiden Putra Heights: Operasi tumpu kerja sedut air di kawah kebakaran
Nasional

Insiden Putra Heights: Operasi tumpu kerja sedut air di kawah kebakaran

Insiden Putra Heights: Operasi tumpu kerja sedut air di kawah kebakaran

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 April- Mengeluarkan air yang bertakung di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya susulan hujan lebat semalam menjadi fokus utama operasi yang memasuki hari keenam hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata ini bagi membolehkan kerja-kerja penilaian keselamatan disambung semula.

“Kita masih lagi tumpukan kawah kebakaran untuk pagi ini sebab masih banyak air perlu disedut keluar sebelum boleh sambung kerja-kerja penilaian macam biasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, satu sidang media akan diadakan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pada 4.00 petang ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, Subang Jaya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata kerja-kerja penilaian akhir keselamatan di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights dijangka selesai hari ini.

Nor Hisyam berkata ia kemudian akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam masa terdekat.

Penilaian akhir tersebut hanya meliputi kawasan kawah kebakaran sahaja dan tidak termasuk kawasan infrastruktur terjejas.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Setakat semalam, sebanyak 509 keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan sebahagian mangsa tidak tinggal di situ dan jumlah itu dijangka bertambah memandangkan terdapat segelintir berada di luar kawasan semasa kejadian berlaku pada hari raya kedua itu.

Mereka yang masih belum mendaftar di PPS juga dinasihatkan berbuat demikian bagi mengelakkan tercicir daripada menerima bantuan yang diumumkan, dan pendaftarannya akan ditutup tengah hari ini.- BERNAMA

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....