Home Ekonomi Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif
Ekonomi

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji dijangka mampu mengumumkan kadar dividen yang kompetitif untuk 2024, berdasarkan prestasi pasaran saham yang baik serta suasana kadar faedah yang stabil.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pada tahun lalu indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah melonjak sebanyak 13.8 peratus berbanding indeks FBMKLCI yang meningkat sebanyak 12.9 peratus.

“Di samping itu, kadar pulangan sukuk kerajaan iaitu Laporan Indeks Inovasi Global (GII) yang mempunyai tempoh matang 10 tahun juga berlegar sekitar 3.71 sehingga 3.99 peratus tahun lalu yang mana pihak Tabung Haji telah mendapat pulangan yg stabil daripada pelaburan sukuk melalui peningkatan harga sukuk serta kadar keuntungan yang diterima.

“Sebelum ini kadar dividen dilihat stabil pada kadar 3.10 peratus daripada 2020 sehingga 2023.

“Justeru, dengan prestasi pasaran kewangan yang memberangsangkan tahun lalu, kadar dividen bagi tahun 2024 seharusnya sama atau lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

TH sebelum ini mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan rekod yang sama selama empat tahun berturut-turut.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, Tabung Haji dijangka mengekalkan pulangan dividen yang setara dengan tahun 2023.

Katanya, sebagai institusi yang diamanahkan untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan rukun Islam kelima, TH sentiasa memastikan dana yang mencukupi bagi tujuan ibadah haji.

“TH bukan sekadar pengurus pelaburan semata-mata. Ia perlu memastikan kecairan tunai yang cukup pada setiap masa kerana penyimpan boleh mengeluarkan wang mereka tanpa sekatan.

“Ini bermakna TH tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi seperti institusi lain yang lebih bebas dalam strategi pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata, faktor pasaran turut memainkan peranan penting dalam jangkaan pulangan tahun ini yang mana Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan indeks purata daripada 1,400 mata kepada 1,600 mata sepanjang 2024, serta Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil menyumbang kepada pulangan konsisten, khususnya dalam pelaburan Sukuk dan simpanan Syariah.

“Prestasi kukuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terutamanya dalam sektor perbankan yang melaporkan peningkatan keuntungan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, turut menjadi pemangkin kepada prestasi Tabung Haji.

“Ini memberi isyarat positif bahawa penyimpan bakal menerima pulangan yang stabil dan memuaskan, bagaimanapun, setiap pelaburan mempunyai risikonya yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Mualamat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, beliau menjangkakan kadar dividen antara 3.20 hingga 3.40 peratus.

“Saya melihat prestasi ekonomi yang semakin baik berbanding tahun lalu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) namun, hasil pendapatan Tabung Haji kebanyakannya daripada pelaburan tetap dalam instrumen kerajaan.

“Oleh itu, hasilnya tidak tinggi seperti KWSP,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan
Ekonomi

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan

PROSPEK sektor hartanah terus disokong oleh statistik yang lebih baik termasuk jumlah...

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital
Ekonomi

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital

PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelancaran Pembiayaan Peribadi-i...

Ekonomi

Ketakutan ketinggalan punca belia berbelanja berlebihan

Sikap ingin memiliki sesuatu dengan segera dan takut ketinggalan menjadi faktor utama...

Suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy jamin kelangsungan industri
Ekonomi

Suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy jamin kelangsungan industri

Foto Hiasan / FailKUALA LUMPUR, 14 Mac – Suntikan modal baharu sebanyak...