KUCHING, 1 Mac – Program Sejati Madani yang menekankan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan di kawasan Parlimen Petra Jaya bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap teknologi tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan satu kursus dengan kerjasama Microsoft yang bertujuan memberi pendedahan mengenai penguasaan AI dan teknologi lain.
“Kursus ini akan memberi manfaat kepada kepimpinan masyarakat, guru-guru, golongan belia serta sektor perniagaan bagi membantu mereka menguasai teknologi dalam urusan pemasaran, pengurusan sistematik serta keselamatan siber bagi mengelakkan penipuan dalam talian,” katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya berkata demikian pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid dan Surau Kawasan Parlimen P.194 Petra Jaya, di sini.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM591,000 diagihkan kepada 87 JKKK dengan setiap satu menerima RM3,000, manakala 30 masjid dan 60 surau masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000.
Selain itu, JKKK turut menerima dua karton sabun mandian, manakala jawatankuasa masjid dan surau menerima satu karton buah kurma serta satu karton sabun mandian, sumbangan Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya dengan kerjasama Yayasan Perintis Malaysia (MyPerintis).
Sumbangan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak di komuniti setempat.