Tuesday , 4 February 2025
Home Nasional Ekonomi AS, beras & ASEAN antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Nasional

Ekonomi AS, beras & ASEAN antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Ekonomi AS, beras & ASEAN antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Ancaman ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS), cadangan mengkaji semula dasar berkaitan penghasilan beras serta Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai kedudukan Malaysia dalam perang perdagangan dunia susulan pelaksanaan tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau juga ingin mengetahui sama ada Malaysia akan bekerjasama dengan China, Kanada dan Mexico serta langkah kewangan dan fiskal yang akan diambil untuk melindungi ekonomi serta rakyat Malaysia daripada kesan tarif tersebut.

Dalam sesi yang sama, Perdana Menteri turut dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula dasar sedia ada berkaitan penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar bagi kegunaan rakyat, agar industri padi kekal utuh dan lestari selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Sementara itu, pada sesi Soal Jawab Lisan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan langkah untuk mengorientasikan semula dasar penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menggalakkan inovasi dalam agensi kerajaan dan swasta dengan sokongan universiti.

Beliau juga ingin mengetahui langkah penambahbaikan fungsi institusi penyelidikan kerajaan bagi memudahkan pemindahan teknologi global serta menyokong syarikat tempatan dalam memanfaatkan teknologi untuk inovasi.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta Menteri Luar menjelaskan bagaimana Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan mengimbangi hubungan rantau ini dengan BRICS, mengambil kira ancaman ekonomi oleh AS.

Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) pula meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini pindaan terhadap Akta Pemberi Maklumat 2010 serta garis masa bagi pembentangan rang undang-undang tersebut di Parlimen.

Usai sesi itu, Ahli-ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat ialah pembentangan bacaan kali kedua bagi beberapa Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU BERNAMA (Pindaan) 2024, dan RUU Majlis Media Malaysia 2024.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 18 hari sehingga 6 Mac manakala Dewan Negara akan bermula pada 3 Mac.- BERNAMA

Related Articles

Gempa bumi kuat 6.1 magnitud landa Halmahera, Indonesia
Nasional

Gempa bumi kuat 6.1 magnitud landa Halmahera, Indonesia

FOTO METMALAYSIAKUALA LUMPUR, 4 Februari- Gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 melanda Halmahera,...

Banjir: Sarawak menurun 9,034 orang, Sabah kekal 102
Nasional

Banjir: Sarawak menurun 9,034 orang, Sabah kekal 102

FOTO APM SARAWAKKUALA LUMPUR, 4 Februari- Sarawak merekodkan penurunan penduduk terjejas banjir...

Generasi muda adalah ejen perubahan dalam menjaga alam sekitar
Nasional

Generasi muda adalah ejen perubahan dalam menjaga alam sekitar

Program pendidikan murid-murid mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar di SK Seberang...

Penamatan khidmat saluran gas hanya libatkan beberapa bahagian Sarawak
Nasional

Penamatan khidmat saluran gas hanya libatkan beberapa bahagian Sarawak

Foto hiasan KUALA LUMPUR, 3 Februari- Pemberhentian operasi Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak...