KUALA LUMPUR, 2 Februari– Seramai 8,100 peserta menyertai Larian Hari Wilayah Persekutuan 2025 di Jambatan Putra, Putrajaya, malam tadi.
Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025, lebih daripada 60 program yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk orang ramai sertai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang bulan Februari.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, program seperti itu bukan hanya sekadar larian, tetapi juga simbol kesatuan, kecergasan dan semangat kebersamaan komuniti.
\”Acara 21 kilometer(km) dan 10km Half Marathon serta 5km Fun Run Larian Hari Wilayah Persekutuan ini menyasarkan penyertaan sebanyak 8,000 peserta.
Namun, telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dan melebihi sasaran yang ditetapkan,\” kata Dr. Zaliha kepada pemberita.
Program tersebut merupakan kerjasama strategik bersama JomRun dan merupakan siri pertama larian sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.
Siri kedua larian berkenaan akan diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 9 Februari 2025 dan siri ketiga di Dataran Merdeka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 16 Februari 2025.