MATA AYER, 2 Februari– Lebih 3,000 komuniti setempat memeriahkan Karnival Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Komuniti anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau yang diadakan di Kompleks Logistik PDRM Mata Ayer, Arau.
Karnival itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan, membantu golongan memerlukan serta memupuk hubungan baik di antara agensi, masyarakat dan PDRM selari dengan slogan ‘Polis Dan Masyarakat, Berpisah Tiada’.
Menurut Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior ACP Baderulhisham Baharudin, program tersebut merupakan medium terbaik untuk pihak polis mendekati masyarakat.
Ini termasuk pemimpin setempat seperti Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
“Dalam pada itu, hasrat IPD Arau ini untuk mempermudahkan khususnya rakyat setempat dalam urusan pembayaran saman dan sebagainya melalui Bahagian Trafik Daerah Arau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut serta berganding bahu menjayakan program ini, \” kata ACP Baderulhisham, kepada pemberita, malam tadi.
Beliau memaklumkannya pada Karnival Madani PDRM Bersama Komuniti yang turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Antara aktiviti lain termasuklah persembahan wayang kulit, acara larian ‘Night Fun Run’, gotong-royong memasak melibatkan pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), komuniti setempat dan juga warga IPD Arau.