Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Feb(Livevartha) –Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan, bergerak antara RM4.41 dan RM4.44 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap dasar tarif AS.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Livevartha bahawa mata wang tempatan mungkin menghadapi tekanan secara tidak langsung akibat ketegangan tarif AS yang semakin meningkat.
“Memandangkan hubungan perdagangan Malaysia yang kukuh dengan China, yang merupakan sebagai salah satu negara yang terjejas disebabkan pengumuman tarif terkini, trajektori mata wang ini sebahagian besarnya bergantung pada retorik tarif AS minggu depan.
"Jika AS meneruskan langkah tarif, ringgit mungkin cenderung kepada penurunan," katanya.
Bagaimanapun, Innes berkata jika Presiden AS Donald Trump melembutkan pendiriannyaseperti yang dilihat dalam perubahan dasar terbarunya keatas Colombia baru-baru ini, ringgit mungkin mengalami kenaikan yang melegakan.
Beliau menambah pasaran pertukaran asing cenderung untuk melindung nilai daripada senario terburuk.
"Pengeksport tempatan mungkin menangguhkan penjualan pegangan dolar mereka, manakala dana pelaburan mungkin mengekalkan kedudukan dolar mereka," katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.4550/4600 daripada 4.3750/3800 pada minggu sebelumnya.