KUALA LUMPUR, 24 Januari– Keputusan kerajaan beri pengurangan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa, bukti Kerajaan Madani berusaha mengimbangkan keperluan rakyat khususnya pada musim perayaan.
Dengan pelaksanaan tersebut, kerajaan menanggung jumlah pampasan kepada pemilik konsesi sebanyak RM20.8 juta.
Menurut Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UiTM, Dr. Mazlan Ali, rakyat Malaysia seharusnya menghargai usaha kerajaan kerana selama ini telah menanggung jumlah pampasan yang besar.
\”Saya merasakan keputusan kerajaan ini adalah sesuatu yang perlu dihargai oleh rakyat Malaysia. Ini memandangkan, selama ini apabila kerajaan menimbangkan pemberian tol percuma, kerajaan telah menanggung jumlah pampasan yang besar kepada pemilik konsesi,\” kata Dr. Mazlan kepada pemberita, hari ini.
Perkara sama turut dipersetujui oleh Pakar Perunding Dasar dan Polisi Awam, Faizal Riduan.
Katanya, langkah tersebut adalah tepat sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
\”Sudah sampai masanya, kita mempertimbangkan satu langkah menang-menang iaitu menang kepada kerajaan dan rakyat.
Ini kerana setiap kali pengumuman tol percuma, sebenarnya percuma kepada rakyat tetapi tidak percuma kepada kerajaan. Makanya, kerajaan kena bayar ganti rugi kepada konsesi,\” kata Faizal kepada pemberita, hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.