Wednesday , 22 January 2025
Home Ekonomi MAA letak sasaran lebih rendah, TIV 780,000 unit tahun ini
Ekonomi

MAA letak sasaran lebih rendah, TIV 780,000 unit tahun ini

MAA letak sasaran lebih rendah, TIV 780,000 unit tahun ini

PRESIDEN MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain (dia kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz (dua kanan) ketika menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Robotik Automotif Malaysia dan Institut IoT (MARii) dan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) di Bangsar South, Semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOF

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meletakkan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih rendah kepada 780,000 unit tahun ini, berbanding rekod sepanjang masa yang dicatatkan tahun lalu iaitu 816,747 unit.

Presidennya, Mohd. Shamsor Mohd. Zain, berkata jangkaan lebih rendah sebanyak 36,747 unit itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk ekonomi dan dasar yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan. Kerajaan menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, didorong oleh peningkatan penggunaan dan pelaburan swasta.

“Malah Bank Negara Malaysia (BNM) turut dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun ini, menyediakan sokongan yang terus menggalakkan permintaan terhadap kenderaan.

“Selain itu, faktor peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 mulai 1 Februari dan semakan gaji untuk penjawat awam sehingga 15 peratus dijangka menyokong sentimen pengguna untuk membeli kenderaan baharu,” katanya pada taklimat media pencapaian industri automotif Malaysia 2024 di sini, semalam.

Beliau menegaskan, sepanjang tahun ini, faktor pengeluaran jenama dan model baharu di pasaran dijangka memberikan daya tarikan kepada pasaran, selain pengecualian duti untuk Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang akan tamat pada akhir 2025 dijangka mencetuskan desakan pembelian kenderaan ini.

“MAA menjangkakan, strategi promosi jualan serta perkhidmatan nilai tambah yang memberikan lebih banyak pilihan dijangka menarik minat pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, MAA sudah membentangkan kebimbangan yang akan berlaku sekiranya OMV atau peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019 – Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais) 2019 dilaksanakan.

Jelas beliau, pelaksanaan OMV yang diunjurkan meningkatkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 20 peratus menjelang Januari 2026 dijangka memberi kesan antara 10 hingga 30 peratus ke atas permintaan kenderaan.

“Hakikatnya, pelaksanaan OMV ini mencetus kebimbangan kepada industri dan keseluruhan sosio-ekonomi.

“Justeru, MAA akan terus berhubung dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk bentang dan bincangkan. Buat masa sekarang kita perlu kejelasan dari aspek penjelasan dan justifikasi.

“Kami bersedia untuk bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengurangkan impak ke atas pelaksanaan OMV ini. Kita perlu cari alternatif untuk langkah keluar daripada situasi yang menjejaskan industri,” katanya.

Bagi kenderaan elektrik (xEV), segmen itu menyumbang 5.6 peratus kepada TIV dengan jualannya melonjak 19 peratus kepada 45,562 unit tahun lalu, daripada 38,214 unit pada 2023.

Jumlah itu terdiri daripada 14,766 unit Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan 30,796 unit kenderaan hibrid.

“MAA percaya permintaan terhadap xEV akan terus berkembang pada 2025, memandangkan tahun ini adalah tahun terakhir terakhir bagi pengecualian penuh duti import dan eksais untuk EV yang diimport,” katanya. – utusan

Related Articles

Pelantikan Trump beri kesan besar kepada ekonomi dunia
Ekonomi

Pelantikan Trump beri kesan besar kepada ekonomi dunia

DONALD Trump berucap pada Majlis Pelantikan Presiden Amerika Syarikat ke-47 di Capitol,...

Boost catat nilai transaksi RM5.6 bilion pada 2024
Ekonomi

Boost catat nilai transaksi RM5.6 bilion pada 2024

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon (empat dari kiri) bergambar bersama...

12 syarikat penerbangan baharu rangsang pertumbuhan
Ekonomi

12 syarikat penerbangan baharu rangsang pertumbuhan

Sistem pelepasan imigresen menggunakan Kod QR di 40 lorong khas di Lapangan...

Ekonomi

Boost catat pertumbuhan kukuh, transaksi melebihi RM5.6 bilion pada 2024

Peneraju teknologi kewangan serantau, Boost, mencatat prestasi memberangsangkan pada tahun 2024 dengan...