Home Ekonomi PUNB Uni-Challenge 2024 cungkil bakal keusahawanan mahasiswa
Ekonomi

PUNB Uni-Challenge 2024 cungkil bakal keusahawanan mahasiswa

PUNB Uni-Challenge 2024 cungkil bakal keusahawanan mahasiswa

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melancarkan PUNB Uni-Challenge 2024, pertandingan berkonsepkan Keusahawanan Sosial yang direka khas untuk mencungkil bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa di lima buah institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih seluruh negara.

Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria berkata, PUNB Uni-Challenge adalah bukti komitmen PUNB dalam melahirkan usahawan masa depan yang bukan sahaja berjaya tetapi juga bertanggungjawab secara sosial.

“Kami yakin bahawa mahasiswa di negara ini memiliki potensi besar untuk memimpinperubahan ekonomi dan sosial dan pertandingan ini adalah peluang terbaik untuk mereka menyerlahkan bakat tersebut.

“Ini adalah lebih daripada sekadar pertandingan. Kami mahu melihat potensi mahasiswa dalam membantu usahawan kecil dan memberi mereka pengalaman dunia sebenar dalam membina perniagaan yang lestari,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, PUNB Uni-Challenge, yang dianjurkan buat kali kelima sejak 2019, bertujuan melahirkan generasi usahawan yang dapat menyumbang kepada ekonomi negara melalui pendekatan sosial dan lestari. 

Menurutnya, program ini memberi platform kepada mahasiswa untuk mereka mencipta perubahan dalam komuniti melalui idea-idea segar dan inovasi perniagaan.

“Pertandingan ini akan berlangsung selama 12 minggu, bermula dari September hingga November dengan garis masa yang berbeza bagi setiap universiti yang terlibat. 

“Sepanjang tempoh ini, peserta bersama mentor dalam kalangan pensyarah akan bekerjasama rapat dengan usahawan setempat dalam melaksanakan pelan strategi perniagaan yang boleh dipraktikkan serta dipromosikan melalui pelbagai platform digital, “ ujarnya.

Beliau berkata, PUNB Uni-Challenge menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 kepada setiap universiti yang mengambil bahagian dan ia terpulang kepada setiap universiti untuk membahagikan wang tersebut mengikut kategori pertandingan yang telah dijalankan. 

“Oleh itu, jumlah hadiah di setiap universiti adalah berbeza mengikut pilihan penganjur. Setiap universiti juga diperuntukan RM10,000 bagi membiayai kos-kos terlibat ketika sepanjang tempoh tiga bulan pertandingan ini. 

“Jadi, setiap universiti bakal menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM35,000 bagi maksud PUNB Uni-Challange 2024.

“Sebanyak lima buah universiti telah menyatakan komitmen mereka dalam pertandingan ini iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” jelasnya.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit meningkat berbanding dolar AS berikutan prospek positif Belanjawan 2025

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada...

Ekonomi

Belanjawan 2025: LKIM harap pacu transformasi Sektor Perikanan

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil menyantuni nelayan yang berniaga ikan/Foto FB Faiz...

BizMatch MPOC catat potensi jualan RM1.24 billion
Ekonomi

BizMatch MPOC catat potensi jualan RM1.24 billion

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengumumkan pembekal Malaysia mencatatkan...

Peraturan kendiri industri EV dan bateri tarik pelaburan hijau
Ekonomi

Peraturan kendiri industri EV dan bateri tarik pelaburan hijau

HAIRIL Yahri Yaacob pada majlis pelancaran Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan...