Sunday , 16 February 2025
Home Ekonomi Pasaran niaga hadapan emas lengang susulan kebimbangan dasar tarif AS reda
Ekonomi

Pasaran niaga hadapan emas lengang susulan kebimbangan dasar tarif AS reda

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives diniagakan dalam keadaan lengang selepas melonjak baru-baru ini, apabila kebimbangan mengenai dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semakin reda.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ramai pelabur kini yakin tarif yang dikenakan mungkin tidak sekeras yang dijangkakan pada awalnya.

Beliau berkata tumpuan pasaran semakin beralih kepada data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan minggu depan.

“Jika pada 0.2 peratus atau lebih rendah daripada itu, ini mungkin menandakan permulaan kitaran inflasi baharu yang lebih rendah, berpotensi mempengaruhi perubahan panduan Rizab Persekutuan AS (Fed) ke arah pendirian kadar faedah rendah, seterusnya ini dijangka positif bagi emas,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata angka inflasi yang mungkin lebih tinggi boleh mengubah dasar Fed untuk cenderung kepada kadar faedah tinggi, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan yang ketika ini mencetuskan perdebatan dalam pasaran.

Selain itu, rancangan tarif Trump yang masih belum selesai menyebabkan pelabur masih mengambil sikap berhati-hati, menjadikan prospek emas bergantung terutamanya kepada naratif ekonomi dan politik yang sedang berlaku ketika ini, katanya.

Kontrak semerta Januari 2025 turun kepada US$2,743.50 setiap auns troy daripada US$2,760.20 setiap auns troy pada Rabu manakala Februari susut kepada US$2,752.50 daripada US$2,769.10 setiap auns troy.

Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 masing-masing ditutup rendah kepada US$2,762.90 daripada US$2,777.20 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 28 lot daripada 39 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka turun kepada 44 kontrak daripada 61 kontrak.

Mengikut penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 22 Januari, harga emas fizikal adalah US$2,751.80 setiap auns troy.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Pakar jangka dividen KWSP 2024 meningkat ke 6% – 6.3%

Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Profesor Emeritus Dr Barjoyai BardaiKUALA...

Ekonomi

Affin Bank sasar pertumbuhan pinjaman 10% pada 2025

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 15 Februari-Affin Bank mengukuhkan komitmennya dalam menyediakan perkhidmatan perbankan...

Ekonomi

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 15 Februari- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Kestabilan politik pacu pertumbuhan KDNK – Fahmi

Faktor kestabilan politik dan dasar negara yang kukuh menjadi penyumbang utama kepada...